Saturday, October 22, 2011

KISAH INI MACAM KENA DENGAN DIRI INI

Dingin subuh seakan-akan  menggigit hingga  ke tulang rusukku, namun kugagahi kakiku untuk melangkah ke surau. Surau An-Nur destinasi wajibku di setiap pagi. Aku gemar ke sana. Aku tenang di sana.

Sebelum azan subuh mula berkumandang, telingaku seakan-akan dibisik oleh suara halus yang menyeru aku untuk bangkit meninggalkan selimut tebal dan bangkit untuk mandi dan bergerak ke surau. Sampai di sana, kulihat hanya beberapa kerat sahaja pelajar yang ada. Biasanya tidak lebih dari 10 orang.

Tanpa berlengah, sejadah dihampar di suatu sudut, kaki didekatkan, lalu tangan diangkat ke telinga dan dengan penuh kehambaan aku menyeru, "Allahuakbar."  Selesai dua rakaat solat tahajjud diikuti dua rakaat solat taubat. Tangannku menyapu raut wajahku dari dahi hingga ke dagu. Hatiku berasa tenang dan nyaman. Kurasakan wajahku segar dan bercahaya. "Alhamdullilah," bisikku.
Dengan penuh kehambaan aku mengangkat tangan memohon doa dan keampunan dari Yang Maha Esa.

"Alhamdulillahirabbilalamin. Segala puji  bagi Allah tuhan sekalian alam. Ya Allah ,ya tuhanku, aku hambamu yang banyak berdosa ya Allah. Dosa-dosaku bagaikan buih-buih di lautan. Dosa-dosaku ibarat debu  yang bergelimpangan di padang pasir. Ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Aku bersujud padaMu. Aku memohon keampunan dariMu atas segala dosa-dosa yang telah aku lakukan. Yang nyata mahupun tersembunyi. Yang aku sedar mahupun aku tidak sedar. Aku sedar aku tidak layak ke syurgaMu Ya Allah. Namun, tidak pula aku sanggup ke nerakaMu. Ampunkah hambaMu yang hina ini, terimalah taubat ku ini. Amin Ya Rabbalalamin".

Tanpa aku sedari, air mata bercucuran jatuh ke pipiku. Usai berdoa, kurasakan hatiku sangat bersih. Sangat tenang.

Tapi itu kisah lama. Kisah zaman sekolah. Kisah zaman hingusan. Di sana aku ada kawan di Maahad. Di sana aku ada naqib. Di sana aku ada ustaz. Di sana aku ada ibu bapa! Kini aku di universiti. Di universiti  yang jauh dari tempat asalku. Dengan rezeki  Allah aku di tawarkan belajar di luar negara. Negara idaman aku. Kini aku di United Kingdom. University of Manchester.Alhamdulillah cita-cita dan doaku dimakbulkan Tuhan Yang Esa.

Aku manusia biasa. Aku bukan malaikat. Manusia itu sering lupa dan  lalai kan? Kini sudah 4 tahun aku di sini. Pengajianku biasa saja walaupun tidak cemerlang. Aku bahagia di sini. Aku ada ramai teman. Aku ada ramai sahabat. Tapi adakah aku tenang di sini? Hari-hariku bukan lagi di isi dengan bacaan Al-quran. Solatku kini bukan lagi diimamkan. Hatiku tidak lagi dijamu dengan tazkirah dan ceramah.Aku lalai di sini.
Tapi  aku bukan manusia jahat. Tidak pernah sesekali kuteguk minuman syaitan sepanjang di sini. Tidak pernah ku menjejakkan kakiku ke tempat maksiat. Tidak pernah ku menyentuh yang bukan muhrim untukku. Aku hanya manusia biasa. Aku  menunaikan sembahyang. Aku berpuasa di bulan Ramadan. Aku manusia biasa!

Pada suatu subuh,seperti biasa aku bangkit untuk solat subuh. Kali ini kurasakan angin luar tidak terlalu sejuk dan  tidak juga panas. Suasana sangat tenang dan segar. Lain dari kebiasaan subuh yang aku lalui. Setelah selesai solat subuh, aku mengangkat tangan untuk berdoa. Aku berdoa mohon keampunan. Doa yang sama aku ulang semenjak di asrama dulu lagi. Tapi kali ini aku tidak merasai kemanisan doa itu. Tidak ku rasa penghayatan doa itu. Dan paling ku takut, aku tidak menangis. Penat ku cuba untuk mengalirkan air mata di hadapan Yang Maha Besar tapi aku gagal.  Aku gagal. Aku gagal menangis!

Ini bukan kali pertama. Semenjak beberapa bulan ini doaku tidak lagi di selangi air mata. Hatiku tidak dapat merasai kenikmatan doa. Aku jadi takut. Pelbagai perkara bermain di fikiranku. "Ya Allah gelapnya hati hambaMu ini". Terus ku teringat kata-kata ustazku ketika di sekolah dulu. "Hati manusia ibarat besi. Setiap dosa yang dilakukan akan melekatlah karat padanya. Tapi karat itu boleh di cuci dengan solat dan doa. Namun lama kelamaan jika karat itu tidak dibersihkan, akan semakin besarlah ia, dan semakin sukarlah untuk dibersihkan . Maka semakin hitam dan gelaplah hati kita. Ketika ini setiap dosa yang dilakukan tiada lagi dirasakan dosa bagi dirinya".

Aku tersedar. Aku tersentap.  Kenapa aku mahu jadi orang biasa? Kenapa tidak ingin menjadi yang lebih baik? Tidak berbuat dosa tidak bermakna aku sempurna. Tidak minum arak tidak bermakna aku terlepas dari melakukan dosa-dosa kecil. Sembahyang 5 waktu tidak bermakna aku sempurna.Bagaimana dengan dosa-dosa kecil? Aku lalai. Aku lalai! Terima kasih  ya Allah kerana menyedarkan aku.  Terima kasih atas hidayah-Mu.Aku terus bersujud dan memohon doa.

Ya Allah,

Bimbinglah aku ke arah agamaMu,
Dekatkah hatiku padaMu,
Berilah aku cahaya hidayah dan cahaya makrifatMu,
Berilah aku kasih sayangMu,
Dan jangan sekali-kali Kau lalaikan aku,
Sesungguhnya aku hambaMu yang lemah,
Amin.

Semoga kita sentiasa mendapat hidayah dariNya.
Mari kita  jadikan hari ini lebih baik dari semalam , esok lebih baik dari hari ini. Hargailah setiap detik dan manfaatkan masa sebaiknya sebelum malaikat maut datang menjemput.

MENGEJAR CINTA PEMILIK ARASY

Alhamdulillah, setelah sekian lama penulis mencari, akhirnya bertemu juga penulis dengan sebuah buku karangan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, yang berjudul "Al-Farqul Bayaaniy Baina Awliaaus Shaytaan wa Awliaaur Rahmaani", yang sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu, "Perbezaan Yang Nyata Antara Wali Syaitan dan Wali ar-Rahman". Buku yang didapati penulis pula judulnya di dalam bahasa Indonesia, iaitu "Wali Allah vs Wali Setan".

Bukanlah kelayakan penulis, untuk menerangkan dengan lebih lanjut apa yang sudah dibawakan oleh Ibnu Taimiyah dengan begitu kemas sekali. Cuma sahaja penulis tertarik dengan syarat yang telah diberikan Allah S.W.T, bagi kita mencapai kasih dan cinta-Nya. Perkataan 'wali' itu sendiri, bermaksud rapat, hampir dan karib. Terdapat sebuah hadis di dalam Sahih Bukhari yang berbunyi, Allah S.W.T berfirman:

"Hamba-Ku adalah dia yang banyak mengerjakan amalan sunat, yang mana dia mengerjakannya sehingga Aku menyintainya. Dan apabila Aku menyintainya, Akulah matanya semasa dia melihat, Akulah telinganya semasa dia mendengar, Akulah tangannya ketika dia memukul. Apabila dia meminta nescaya Aku akan memperkenankannya, apabila dia memohon perlindungannya nescaya Aku akan melindunginya."

Begitulah petikan hadis dari Sahih Bukhari, dan hadis ini menurut Ibnu Taimiyah adalah hadis yang paling sahih yang membicarakan berkenaan wali Allah. Hadis ini selari dengan sabda Nabi S.A.W:

"Takutilah kamu pandangan orang yang beriman, sesungguhnya dia melihat dengan cahaya Allah S.W.T."

Kebolehan dan perkara-perkara ajaib yang pernah terjadi kepada para wali Allah S.W.T, yang kita dapati di dalam hadis-hadis yang sahih, merupakan perkara yang benar-benar berlaku. Cuma sahaja perbahasan mengenai keramat para wali ini, tidaklah penulis akan bawakan di sini bahkan pada masa akan datang insya-Allah.

Pada kali ini, penulis ingin menekankan amalan-amalan sunat yang sunnah, yang mana penulis memandang penting dan sangat baik untuk kita amalkan dalam mengejar cinta Allah S.W.T. Andaikata kita membaca tentang ibadah Rasulullah S.A.W dan juga para sahabat, secara pasti akan terasa insaf di hati, kerana sempurna dan kualitinya amalan mereka, tanpa mengenal erti penat dan jemu, jauh sekali jika dibandingkan dengan amalan kita yang ingat-ingat lupa ini.

Oleh itu marilah kita mengejar cinta Allah S.W.T, dengan mengerjakan amal-amal sunat yang sunnah, moga kita beroleh kebaikan di dunia dan di akhirat, dikasihi Allah S.W.T, dilindungi dan dikabulkan segala permintaan kita.

Di antara amalan sunat yang sunnah ialah:-

1) Mengerjakan solat sunat selepas dan sebelum solat lima waktu

i) Solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, yang mana merupakan amalan yang tidak pernah ditinggalkan Rasulullah S.A.W. Diriwayatkan bahawa jikalau Baginda S.A.W bermusafir, maka solat-solat sunat yang lain akan ditinggalkan, akan tetapi baginda S.A.W akan tetap dengan solat sunat dua rakaat sebelum solat Subuh.

ii) Solat sunat dua rakaat sebelum Zohor, dan solat sunat dua rakaat selepasnya.

iii) Solat sunat dua rakaat sebelum Asar.

iv) Solat sunat dua rakaat selepas Maghrib.

v) Solat sunat dua rakaat sebelum dan selepasnya Isyak.

Perhatikan bahawa penulis tidak menulis solat sunat selepas solat Subuh, selepas solat Asar dan sebelum Maghrib. Ini kerana dua waktu di dalam sehari, iaitu dari waktu setelah terdirinya solat Subuh hingga sampai waktu Dhuha, dan juga waktu setelah terdirinya solat Asar hinggalah ke waktu Maghrib, ini dinamakan waktu tahrim, iaitu haram solat ketika ini. Kerana itu amalan solat sunat dua rakaat setelah Subuh, setelah Asar dan sebelum Maghrib bukan amalan sunat yang sunnah dari Rasullullah S.A.W.

2) Solat sunat Dhuha

Solat sunat Dhuha juga merupakan amalan baginda S.A.W. Aisyah r.a berkata:
"Baginda S.A.W solat Dhuha sehingga kami berkata, "Baginda S.A.W tidak pernah tinggalkan Dhuha".

Dan juga di dalam hadis lain:
"Baginda S.A.W tidak solat Dhuha sehingga kami berkata, "Baginda S.A.W tidak pernah solat Dhuha".

Maksud dari hadis yang zahirnya kelihatan bercanggah ini, ialah Rasulullah S.A.W ada bersolat Dhuha dan tidak pernah meninggalkannya, sehingga nampak di mata manusia Baginda S.A.W tidak pernah meninggalkan Dhuha.

Dan ada juga masanya Baginda S.A.W meninggalkan Dhuha sehingga kelihatan seperti Baginda S.A.W tidak pernah bersolat Dhuha. Hal ini bagi menunjukkan bagi kita bahawa solat Dhuha kekal solat sunat, dan bagi yang mampu mengerjakannya, kerjakanlah dan ianya tidak berdosa jika ditinggalkan.

Ianya juga dari tabiat Rasulullah S.A.W untuk mengerjakan amalan sunat, dan adakalanya Baginda S.A.W meninggalkannya, kerana dari sifat Baginda S.A.W bahawa Baginda S.A.W khuatir andaikata Baginda S.A.W mengerjakannya setiap hari tanpa langsung meninggalkannya, maka Allah S.W.T akan mewajibkan solat Dhuha kepada kita, yang mana kita tidak akan mampu untuk mengerjakannya secara wajib setiap hari.

Kepada para sahabat Baginda S.A.W menyarankan solat Dhuha, sebagaimana di dalam hadis Abu Hurairah ra, katanya kepada Rasulullah S.A.W:
"Ya Rasulullah, nasihatilah aku". Maka jawab Baginda S.A.W, "Ya Abu Hurairah, berpuasalah kamu, walaupun hanya tiga hari, tetap saban bulan. Kerjakanlah solat Dhuha, walaupun dua rakaat tetapi saban hari, dan kerjakanlah solat witir, walau satu rakaat tetapi saban malam".

3) Berpuasa Isnin dan Khamis setiap minggu, dan jika tidak mampu, tiga hari setiap bulan

Ini sebagaimana yang disarankan di dalam hadis di atas. Sungguh berpuasa Isnin dan Khamis merupakan puasa yang sesuai dengan kudrat kita, dan sungguh tidaklah umat ini mampu untuk berpuasa lebih dari itu.
Di dalam hadis Sahih Bukhari, menceritakan kepada kita Amru ibnu Al-'As, ketika beliau meminta dari Rasulullah S.A.W mengamalkan yang baik untuk dilakukan, Baginda S.A.W menyarankan agar beliau berpuasa Isnin dan Khamis. Dan beliau berkata:
"Sungguh aku mampu untuk berbuat lebih dari itu."

Maka Rasulullah S.A.W bersabda:
"Berpuasalah kamu sebagaimana puasanya Daud a.s, iaitu kamu berpuasa sehari, dan berbuka sehari (iaitu selang sehari)."

Kata Amru r.a:
 "Sungguh aku lebih mampu dari itu."

Maka kata Rasulullah S.A.W:
"Engkau tidak (mampu)."

Kemudian setelah Amru r.a mengamalkan puasanya Daud a.s, sebagaimana yang dimintanya dari Rasulullah S.A.W, katanya:
"Kemudian aku berhenti (dari puasa itu), kerana benar kata Rasulullah S.A.W, aku tidak mampu."

Ini selari dengan hadis Aisyah r.a, bahawa Rasulullah S.A.W tidak pernah berpuasa penuh sebulan, melainkan di bulan Ramadhan. Adapun puasa Baginda S.A.W di bulan Syaaban, bukanlah puasa penuh, tetapi puasa majoriti hari-hari di dalam Syaaban.

Kerana itulah kata penulis, puasa Isnin Khamis adalah yang tercantik dan sesuai dengan kekuatan insaniah kita.

4) Solat Witir

Hakikatnya witir bukan sahaja boleh dilakukan pada bulan Ramadhan, bahkan witir boleh dilakukan setiap malam, sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis di atas. Dan juga witir itu tidak semestinya tiga rakaat, bahkan satu rakaat sahaja sudah mencukupi dan diterima. Insya-Allah.

5) Solat Tahajjud

Solat yang sangat dianjurkan Rasulullah S.A.W. Sabda Baginda S.A.W:
"Solat yang paling afdal (baik) setelah solat lima waktu ialah solat malam".

Ini kerana sabda Rasulullah S.A.W di dalam Sahih Muslim:
"Di setiap sepertiga malam, Allah S.W.T turun dari 'Arasy-Nya yang agung, ke langit dunia (langit pertama).

seraya berfirman kepada para Malaikat:

"Adakah lagi di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Adakah lagi di antara mereka yang memohon sesuatu?" Nescaya Allah S.W.T akan mengampunkannya dan memakbulkan doanya."

Firman Allah S.W.T mengenai amalan ahli syurga di dunia ini, di dalam surah as-Sajadah:
 "Jauh rusuk mereka dari tempat tidur mereka, mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan yang takut (akan azab seksa Allah S.W.T di dunia dan di akhirat) dan penuh harapan (agar beroleh syurga kelak, dan beroleh kebaikan dan pahala di dunia)."

Sungguh doa di tengah malam merupakan doa yang mustajab, dan juga menambahkan ketenangan hati dan keyakinan kita kepada Allah S.W.T.

6) Wirid setelah solat lima waktu

Merupakan amalan Rasulullah S.A.W dan juga para sahabat Baginda S.A.W. Kata Ibnu Abbas r.a:
"Aku melihat mereka (para sahabat) setelah solat meninggikan sedikit suara mereka berzikir".
Perlu diingatkan bahawa adab berzikir menurut yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W, ada dua:

i) Tidak meninggikan suara terlalu kuat, atau mendiamkan diri terlalu perlahan.
Terdapat sepotong hadis di mana baginda S.A.W mendapati Abu Bakar dan Umar r.a sedang berzikir, yang mana Abu Bakar cuma mendiamkan diri tanpa sebarang suara. 
Maka Baginda S.A.W menghampiri Abu Bakar r.a dan bersabda:
"Mengapa engkau diam sahaja?" 
Jawab Abu Bakar r.a, "Ya Rasulullah, aku zikir dengan diam sahaja kerana bukankah Allah S.W.T tidak pekak?"

Maka tersenyum Baginda S.A.W, seraya bersabda:
"Tidak Abu Bakar, tinggikan sedikit suaramu."

Dan dihampiri pula Umar r.a, yang sedang terpekik terlolong berzikir, maka sabda Nabi S.A.W: "Mengapa engkau terpekik-pekik?" 

Jawab Umar r.a, "Ya Rasulullah, bukankah jika kita zikir kuat-kuat, syaitan akan lari?"

Maka tersenyum Baginda S.A.W, seraya bersabda:
"Perlahankan suaramu."
Ertinya zikir yang sunnah, ialah dengan suara yang sederhana, tidak kuat dan tidak lemah.

Dan dari zikir yang sunnah itu juga, adalah zikir sendirian, bukan secara berjemaah, kerana sebaik-baik amalan adalah amalan para sahabat, dan sahabat tidak pernah berzikir secara berjemaah.

Penulis juga ingin menegur saudara seislam penulis, yang merupakan imam-imam di masjid dan surau. Apabila setelah selesai solat, elok jikalau dicabut terlebih dahulu mikrofon yang digunakan ketika mengimami solat, kerana sungguh zikir dan perkataan kita setelah solat, mengganggu kyusuknya solat jemaah yang masuk masbuk, dan juga jemaah yang sedang mendirikan solat dengan makmum mereka.

Ini bukan perkara yang baik, kerana berzikir itu hukumnya sunat, manakala solat yang didirikan oleh jemaah lain adalah wajib. Maka apabila bertembung sunat dengan wajib, diberatkan dan diutamakan yang wajib terlebih dahulu.

ii) Berzikir tanpa menggugurkan mana-mana huruf yang ada di dalam zikir.
Sebagai contoh, ada masanya penulis mendengar mereka yang pada awal zikir, lengkap mengucapkan 'La ilaaha illallah', kemudian setelah zikirnya kian laju, tinggal 'illallah, illallah' sahaja.

Kemudian setelah zikirnya kian laju, tinggal 'hu,hu,hu' sahaja. Ini merupakan amalan yang tidak elok, tidak selari dengan amalan Rasulullah S.A.W dan para sahabat, yang lengkap berzikir 'La ilaaha illallah' biar kesekian kalipun, tanpa menambah lajunya berzikir.

7) Doa-doa harian

Doa-doa seperti doa masuk tandas, doa keluar tandas, doa memakai pakaian, doa melihat ke cermin, doa menaiki kenderaan, doa keluar rumah, doa masuk rumah, doa ketika ke masjid, doa masuk saf solat, bismillah sebelum makan dan doa setelah makan, kesemuanya adalah dari amalan Baginda S.A.W setiap hari.

Sungguh amalan-amalan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W itusangat banyak. Kita tidak akan mampu untuk beramal sesempurna Baginda S.A.W. Serba-sedikit yang penulis bawakan di sini, merupakan hanya sebahagian dari amalan baginda saw.

Selawat dan salam ke atas baginda Muhammad saw, dan keluarga baginda dan para sahabat baginda kesemuanya.

Ya Allah, tambahkanlah kecintaan kami kepada sunnah Nabi-Mu Muhammad S.A.W, agar terasa ringan di hati kami untuk mengamalkannya.

Ya Allah, jauhkanlah sunnah Baginda dari sebarang bentuk fitnah, samada dari kata-kata yang keji dan perilaku bidaah, sungguh tipu daya syaitan itu adalah musuh kami yang nyata tetapi halus.

Ya Allah, tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan orang-orang yang Kau berikan nikmat ke atas mereka, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan juga jalan mereka yang sesat.
Amin.

Ya Allah, sudahkah aku sampaikan pesanan-Mu?

Tuesday, October 18, 2011

KISAH SEPASANG BURUNG

Mungkin ramai dah lihat, sekadar berkongsi buat peringatan untuk semua.

Gambar yang diambil oleh seorang jurufoto yang telah melariskan jualan akhbar di Perancis pada hari ia disiarkan.

Di sinilah pasangan (isteri? suami?) kepada burung layang-layang ini terlantar antara hidup atau mati, kerana dilanggar oleh kereta ketika terbang rendah.


 
Di sinilah ia menghantarkan makanan kepada pasangannya itu, dan menemaninya dengan penuh setia dan kasih sayang..
 
 
Sekali lagi ia terbang dan datang membawakan makanan, namun ia sangat terkejut apabila mendapati pasangannya telah mati.. Ia cuba menggerak-gerakkan pasangannya itu, satu keadaan yang jarang dilihat bagi burung atau binatang sepertinya..
 
Menyedari pasangannya sudah tidak bergerak, dan tidak akan kembali lagi kepadanya, ia mengeluarkan bunyi seolah-olah sedang menangisi pemergian itu dengan hiba..

Dan akhirnya menerima hakikat bahawa pasangannya itu telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya....
Hidup menjadi sepi...

 
Begitulah kasih sayang yang Allah ciptakan antara sesama makhluk-Nya..Manusia bagaimana?

Pastinya burung yg ditinggalkan pasangan ... hidup menjadi sepi...kita manusia......???

BISMILLAHIRRAHMAN NIRRAHIM

BISMILLAH adalah sebutan/nama singkat dari lafaz 'BISMILLAHIR ROHMAANIR ROHIIM' yang bermaksud 'Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha> Penyayang.'

KELEBIHAN-KELEBIHAN BISMILLAH

1. Yang pertama ditulis Qalam adalah BISMILLAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu, maka tulislah BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail..

2. ' BISMILLAH untukmu dan umahmu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam. '(Hadith Qudsi)

3. Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.

4. Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu dibacakan pada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya.

5. Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid, maka bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.

6. Jumlah huruf dalam BSMILLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 (QS. AL Muddatsir: 30).Ibnu Masud berkata: ' Sesiapa yang ingin Allah selamatkan
dari 19 malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari. '

7. Tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, ' Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah kekuatannya dan kamilah kehebatannya. '

8. Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya.

9. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.

10. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.

11. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca..A

SYURGA WANITA

1. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

2. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh.

3. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang jahat.

4. 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

5. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susu badan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.

6. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

7. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

8. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.

9. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah
dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal
daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

10. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati
anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

11. Wanita yang memerah susu binatang dengan "bismillah" akan didoakan
oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

12. Wanita yang menguli tepung gandum dengan bismillah", Allah akan
berkatkan rezekinya.

13. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala
seperti meyapu lantai di baitullah.

14. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami, Allah akan mengizinkannya untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia suka.

15. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

16 Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

17. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.

18. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan
dikira sebagai mati syahid.

19. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

20. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun),
maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

21. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

22. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika
wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala tola perak.

23. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki
syurga.

24. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun
ibadat.

25. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai
purdah di dunia ini dengan istiqamah.

Nuffnang Add

TENGOK-TENGOKLAH