Friday, April 8, 2011

DARI SEKEPING HATI


Alhamdullilah, nikmat kehidupan masih kita miliki. Selamat pagi buat semua, aini doakan agar hari ini menjadi hari yang menggamit memori indah dalam hidup kalian. Gunakanlah manfaat yang ada tika ini untuk kita sama-sama mendalami ilmu-Nya yang tidak terhitung nilai dan kuantitinya. 

Pagi ini aini mahu berbicara mengenai "hati". Teringat pula aini akan tajuk sebuah lagu, Suci Sekeping Hati. Bila didengar kembali, ya, boleh la diambil sebagai sebagai peneman yang berharga buat saat dan ketika ini.

Mengapa hati? Kerana hatilah yang akan membentuk peribadi. Andai si hati baik, baiklah diri. Dan andai si hati itu jahat, jahatlah diri. Benarkah? Siapa pula yang menentukan baik atau jahatnya hati? Hhhmm.. aini bukanlah siapa-siapa untuk berbicara soal hati. Apa yang aini cuba sampaikan adalah apa yang aini cuba fahami. Faham apa yang cuba untuk ditafsirkan oleh hati. Mampu juga untuk faham kerana dikurniakan akal untuk berfikir, mencari jawapan untuk setiap persoalan yang terbit dari hati. Pada aini, manusia adalah ciptaan teragung yang sukar difahami. Betapa kompleksnya seorang manusia, sehingga diri manusia itu sendiri tidak dapat memahami apa yang berlaku pada dirinya... ye ke?
 
Sebab musabab timbulnya persoalan ini adalah kerana apa yang aini rasakan. Rasa yang timbul dari hati. Mungkin. Betapa hati aini sangat rapuh. Rapuh kerana tidak kuat. Tidak tegar. Yang pasti, ia sentiasa berbolak balik. Sekejap itu, sekejap ini. Sekajap mahu, sekejap enggan. Sekejap gembira, sekejap sedih. Sekejap ya, sekejap tidak. Sekejap baik, sekejap jahat. Ya, sekejap itu, sekejap ini. Semuanya bercampur, membentuk sekeping hati seorang manusia yang istimewa. Mengapa istimewa? Kenapa tidak istimewa? Kita adalah makhluk yang diciptakanNya untuk memilih. Bukankah membuat pilihan adalah hak istimewa yang dimiliki seseorang. Berbeza dengan makhluk yang lain, semua malaikat dijadikan untuk sentiasa patuh pada arahanNya, juga sebagai perantara antara urusan manusia dan Tuhan. Syaitan pula telah ingkar akan perintah Allah, dijadikan untuk menyesatkan manusia. Alam semesta, tumbuh-tumbuhan dan haiwan juga dijadikan tanpa akal, untuk membantu kehidupan manusia, juga sentiasa patuh pada perintahNya. Wahhh, dah la diberi plihan untuk membuat pilihan, makhluk-makhluk lain itu juga berkhidmat untuk manusia, atas perintah Allah! Apa lagi sebenarnya keistimewaan yang kita mahukan???Jalan untuk dipilih telah tersedia. Terpulanglah pada diri kita untuk memilih. Mahu baik, ataupun jahat. Jadi, siapa yang sebenarnya yang membuat pilihan itu?

 Dialah HATI. 

Suci, ataupun kotornya sekeping hati, kita sendirilah yang menentukannya, dengan izin daripada Sang Pemilik hati yang Agung. 

"Aku ni kan jahat, memang sejak azali lagi macam ni. Tak payah la susah-susah nak buat benda baik. buang masa je. Lain la macam kau, keluarga pun baik-baik..."
 

"Eh, aku ni kan alim, suka pergi surau, pandai ngaji quran, gerenti la tak buat benda-benda maksiat nih. Bukan macam dia tu, macam-macam maksiat dah buat..."
 

Benarkah? Yang baik tetap baik, yang jahat tetap jahat? Sudah semestinya tidak! 
Bila-bila masa sahaja hati boleh berubah, jika tuannya ingin berubah. Perubahan diri ke arah kebaikan sudah semestinya adalah kurniaan Pemilik Hati yang sebenar yang menghendaki perubahan itu, dengan meniupkan hidayah kepada si peminjam hati. Terpulanglah kepada si peminjam hati untuk menyedari tanda kasih sayang Allah itu, menghargainya dan melaksanakan perubahan yang akan menyelamatkan dirinya. Jika si pemilik hati itu menafikan petunjuk Allah yang sentiasa ada untuknya, dan lebih suka untuk memilih ‘keindahan-keindahan’ lain yang ada di dunia ini, terpujuk dengan kata-kata manis si syaitan penggoda, serta membiarkan nafsu menguasai hati, maka terkotorlah hati, terzalimlah diri yang menzalimi dirinya sendiri

Pokok pangkalnya, sekeping hati itu sebenarnya suci. Kerana telah menjadi fitrah seorang manusia yang sukakan perkara-perkara kebaikan. Namun, manusia juga adalah makhluk yang dicemburui syaitan yang gemarkan kemaksiatan. Mereka telah bersumpah dihadapan Allah untuk menyesatkan manusia. Biarkanlah mereka dengan tugas mereka. Tak guna kita menyalahkan mereka. Kita sebagai manusia seharusnya lebih sedar akan tugas kita. Memilih jalan kebenaran adalah tugas kita. Tanggungjawab kita. Bukan sekadar pilihan biasa…

1 comment:

  1. makanya hati itu utk dijaga, & bukannya utk disakiti.

    ReplyDelete

Nuffnang Add

TENGOK-TENGOKLAH